Platform bersepadu Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
bagi menghimpunkan profil belia serta membuka peluang penglibatan melalui ICE dan SATRIA.
Pengenalan Sistem MyProfil
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
membangunkan Sistem MyProfil sebagai sebuah platform bersepadu bagi menghimpunkan dan mengurus
maklumat profil belia serta masyarakat Malaysia secara sukarela.
Sistem ini menyokong pengurusan data secara lebih sistematik dan berpusat seterusnya menyediakan
sumber maklumat yang penting kepada pemegang taruh dalam merancang dasar, program dan inisiatif
pembangunan belia yang lebih berfokus, responsif serta berasaskan keperluan semasa.
Selain berfungsi sebagai pangkalan data profil, Sistem MyProfil turut menyediakan peluang penglibatan
belia melalui dua modul utama iaitu IYRES Community Enumerator (ICE) dan Pengurusan Sukarelawan
Anak Malaysia (SATRIA).
Perkhidmatan Utama Sistem MyProfil
i.
IYRES Community Enumerator (ICE)
IYRES Community Enumerator merupakan modul yang menyediakan platform kepada belia untuk terlibat
dalam pelbagai aktiviti penyelidikan khususnya berkaitan pembangunan belia yang dilaksanakan oleh IYRES.
ICE telah dibangunkan pada tahun 2015 dan dilancarkan bersempena Festival Belia Putrajaya 2015 sebagai
salah satu inisiatif untuk memperluas penglibatan belia dalam aktiviti penyelidikan serta menyokong
keperluan penyelidikan IYRES.
Pelaksanaannya turut selaras dengan Objektif Strategik dalam Pelan Strategik Institut Penyelidikan
Pembangunan Belia Malaysia 2021–2025 khususnya dalam memperkukuh sokongan terhadap pelaksanaan
penyelidikan pembangunan belia. Penyertaan sebagai ICE terbuka kepada belia warganegara Malaysia
berumur 18 hingga 40 tahun yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Antara perkhidmatan ICE yang ditawarkan melalui Sistem MyProfil ialah:
Penyelia
Enumerator
Transcriber
Pelapor
Pengekod Data
Penyemak Dokumen
Sukarelawan
Penglibatan dalam perkhidmatan ICE memberi peluang kepada belia untuk memperoleh pendedahan dan
pengalaman secara langsung dalam pengurusan penyelidikan serta pengumpulan data. Pada masa yang sama,
penglibatan ini dapat membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, pengurusan tugasan
dan keupayaan berinteraksi dengan komuniti. Secara tidak langsung ICE menyumbang kepada pembangunan
potensi belia sebagai tenaga sokongan penyelidikan yang kompeten, berkemahiran dan berdaya saing.
Perkhidmatan ICE untuk Keperluan Penyelidikan Pihak Luar
Selain menyokong pelaksanaan penyelidikan IYRES, perkhidmatan ICE turut ditawarkan kepada pihak luar
yang memerlukan sokongan dalam pelaksanaan kajian, pengumpulan data dan tugasan berkaitan penyelidikan.
Perkhidmatan ini boleh dipohon oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi,
pensyarah, penyelidik, penganjur program, syarikat swasta, konsultan, badan bukan kerajaan (NGO) serta
individu perseorangan.
Setiap permohonan akan dinilai dan dipertimbangkan oleh IYRES berdasarkan kesesuaian skop, keperluan
serta bentuk perkhidmatan yang diperlukan. Melalui kemudahan ini, ICE berperanan menghubungkan keperluan
penyelidikan pelbagai pihak dengan tenaga belia yang berdaftar sekali gus memperluas peluang penglibatan
belia dalam aktiviti penyelidikan secara praktikal dan terancang.
ii.
Pengurusan Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA)
Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) merupakan modul pengurusan dan penyelarasan penglibatan sukarelawan
dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Kementerian Belia
dan Sukan. Melalui modul ini pengguna boleh mendaftar sebagai sukarelawan, mendapatkan maklumat berkaitan
program atau projek kesukarelawanan serta menyertai latihan dan mobilisasi sukarelawan berdasarkan keperluan
program.
Penyertaan SATRIA terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas. Penglibatan melalui
SATRIA memberi peluang kepada belia untuk menyumbang kepada masyarakat dan komuniti menerusi pelbagai
aktiviti kesukarelawanan. Penyertaan ini turut membantu membentuk nilai kepimpinan, semangat kerjasama,
keprihatinan sosial serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.
Manfaat Sistem MyProfil kepada Belia
Sistem MyProfil menyediakan pelbagai manfaat kepada belia melalui akses kepada maklumat, peluang
pembangunan diri, penyertaan dalam aktiviti penyelidikan serta penglibatan dalam kesukarelawanan.
Antara manfaat yang boleh diperoleh ialah:
Mendapat Akses kepada Maklumat dan Aktiviti Semasa
Belia berpeluang menerima maklumat berkaitan program, aktiviti dan inisiatif semasa anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi berkaitan.
Peluang Menyertai Aktiviti Kesukarelawanan
Belia boleh mendaftar dan melibatkan diri sebagai Sukarelawan Anak Malaysia dalam pelbagai program dan aktiviti kesukarelawanan yang ditawarkan.
Peluang Menjana Pendapatan melalui Perkhidmatan ICE
Belia berpeluang melaksanakan tugasan jangka pendek melalui perkhidmatan ICE sekali gus memperoleh pengalaman kerja dan menjana pendapatan berdasarkan tugasan yang ditawarkan.
Pendedahan dalam Bidang Penyelidikan
Penglibatan melalui ICE memberi peluang kepada belia untuk mendapatkan pengalaman secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti penyelidikan khususnya berkaitan pembangunan belia.
Pembangunan Kompetensi dan Kemahiran
Belia turut berpeluang menyertai latihan pembangunan kompetensi seperti Program ICExcellent Bootcamp bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran komunikasi, profesionalisme serta keupayaan melaksanakan tugasan penyelidikan dengan lebih berkesan.
Secara keseluruhannya Sistem MyProfil bukan sahaja berperanan sebagai pangkalan data profil, malah menjadi
platform yang menghubungkan belia dengan pelbagai peluang pembangunan diri termasuk penyelidikan, pekerjaan
jangka pendek dan kesukarelawanan selaras dengan usaha memperkasa potensi serta penglibatan belia dalam
pembangunan masyarakat dan negara.
Pendaftaran Sistem MyProfil
Masyarakat Malaysia khususnya golongan belia dialu-alukan untuk mendaftar dalam Sistem MyProfil bagi
melengkapkan maklumat profil serta mendapatkan akses kepada pelbagai program, perkhidmatan, aktiviti dan
peluang pembangunan belia yang ditawarkan.
Pendaftaran boleh dibuat melalui portal MyProfil (myprofil.iyres.gov.my)
atau menerusi aplikasi MyProfil yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi pengguna Android
dan Apple App Store bagi pengguna iOS.
Pengguna perlu mendaftar sebagai individu, melengkapkan maklumat profil yang diperlukan dan seterusnya
memilih perkhidmatan ICE atau SATRIA berdasarkan kelayakan dan minat masing-masing. Daftar MyProfil dan
terokai pelbagai peluang untuk menyumbang, membina pengalaman serta mengembangkan potensi diri.